1 Setelah keadaan di Efesus tenteram semula, Paulus mengumpulkan pengikut Yesus di situ lalu menggalakkan mereka. Kemudian dia mengucapkan selamat tinggal dan meneruskan perjalanan ke Makedonia.
2 Dia mengunjungi daerah Makedonia dan dengan banyak ajaran Paulus menggalakkan pengikut Yesus di situ. Kemudian dia pergi ke Akhaya.
3 Di situ dia tinggal selama tiga bulan. Dia sedang bersiap-siap untuk pergi ke Siria, apabila dia mendengar bahawa orang Yahudi berkomplot untuk membunuh dia. Oleh itu, Paulus mengambil keputusan untuk kembali melalui Makedonia.
4 Sopater anak Pirus yang berasal dari Berea pergi bersama-sama dia, begitu juga Aristarkhus dan Sekundus dari Tesalonika, Gayus dari Derbe, Tikhikus dan Trofimus dari daerah Asia, dan Timotius.
5 Mereka pergi terlebih dahulu lalu menunggu kami di Troas.
6 Setelah Perayaan Roti Tidak Beragi, kami belayar meninggalkan Filipi. Lima hari kemudian kami berjumpa dengan mereka di Troas. Di situ kami tinggal selama seminggu.
7 Pada petang Sabtu kami berkumpul untuk makan bersama-sama saudara seiman. Kerana Paulus akan berangkat esoknya, dia mengajar orang di situ. Dia berkata-kata terus sehingga tengah malam.