16 Paulus mengambil keputusan supaya tidak singgah di Efesus, agar tidak membuang masa di daerah Asia. Dia ingin cepat-cepat tiba di Yerusalem, jika boleh sebelum hari Pentakosta.
17 Dari Miletus, Paulus mengirim berita ke Efesus, meminta supaya pemimpin-pemimpin jemaah di situ datang menjumpai dia.
18 Apabila mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, “Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia.
19 Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan, di tengah-tengah penderitaan yang aku alami kerana rancangan jahat orang Yahudi.
20 Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah.
21 Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita.
22 Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ.