22 Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ.
23 Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan.
24 Tetapi aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus. Aku diberikan tugas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah.
25 Aku sudah mengunjungi kamu semua dan memberitakan Pemerintahan Allah. Sekarang aku tahu bahawa tidak seorang pun daripada kamu akan berjumpa dengan aku lagi.
26 Oleh itu dengan sungguh-sungguh aku berkata kepada kamu pada hari ini: Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku.
27 Aku tidak pernah melalaikan tugas untuk menjelaskan segala kehendak Allah kepada kamu.
28 Hendaklah kamu menjaga diri serta menjaga jemaah yang sudah diserahkan kepada pemeliharaan kamu oleh Roh Allah. Jagalah jemaah Allah seperti gembala menjaga domba, kerana Allah sudah menjadikan jemaah milik-Nya sendiri melalui kematian Anak-Nya.