28 Mereka berseru, “Hai orang Israel, tolong! Inilah orang yang pergi ke serata tempat dan mengajar semua orang menentang bangsa Israel, Taurat Musa, dan Rumah Tuhan ini. Malahan sekarang dia membawa orang bukan Yahudi ke dalam Rumah Tuhan. Dia telah menajiskan tempat yang suci ini!” (
29 Mereka berkata demikian, kerana mereka nampak Trofimus orang Efesus itu bersama-sama Paulus di kota. Mereka menyangka Paulus telah membawa dia ke dalam Rumah Tuhan.)
30 Seluruh kota itu menjadi kacau-bilau; semua orang berlari bersama-sama dan menangkap Paulus lalu menyeret dia keluar dari Rumah Tuhan. Dengan segera pintu Rumah Tuhan ditutup.
31 Sementara perusuh-perusuh itu cuba membunuh Paulus, komandan pasukan Roma diberitahu bahawa seluruh Yerusalem sedang merusuh.
32 Dengan segera komandan membawa beberapa orang pegawai tentera serta askar, lalu cepat-cepat pergi ke tempat huru-hara itu. Semasa orang ramai itu melihat komandan dengan askarnya, mereka berhenti memukul Paulus.
33 Komandan itu menghampiri Paulus lalu menangkap dia, dan menyuruh orang membelenggu dia dengan dua rantai. Lalu komandan itu bertanya, “Siapakah orang ini, dan apa yang sudah dilakukannya?”
34 Sesetengah orang ramai menjawab begini dan sesetengah yang lain menjawab begitu. Keadaan begitu kacau sehingga komandan itu tidak dapat mengetahui apa yang sebenarnya sudah berlaku. Oleh itu dia menyuruh askarnya membawa Paulus ke dalam kubu.