13 Beberapa lama kemudian, Raja Agripa dan Puteri Bernike datang ke Kaisarea untuk menyambut kedatangan Gabenor Festus.
14 Setelah beberapa hari mereka di situ, Festus menerangkan perkara Paulus kepada Raja Agripa. Festus berkata, “Di sini ada seorang tahanan yang ditinggalkan oleh Feliks.
15 Semasa patik di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi mengemukakan tuduhan terhadap dia dan memohon patik menjatuhkan hukuman kepadanya.
16 Tetapi patik memberitahu mereka bahawa bukan kebiasaan orang Roma menyerahkan seseorang, sebelum orang itu berhadapan dengan para pendakwanya dan berpeluang membela diri.
17 Apabila mereka datang ke mari, pada keesokan harinya dengan tidak membuang masa lagi patik duduk sebagai hakim di mahkamah. Lalu patik memberikan perintah supaya orang itu dibawa menghadap.
18 Apabila para pendakwanya berdiri untuk mengemukakan tuduhan, mereka tidak mengajukan suatu kejahatan pun seperti yang patik sangka akan dilakukan mereka.
19 Mereka hanya berdebat dengan dia tentang agama mereka sendiri dan tentang seorang bernama Yesus. Orang itu sudah mati, tetapi Paulus berkeras mengatakan bahawa Dia hidup.