1 Raja Agripa bertitah kepada Paulus, “Kamu dibenarkan bercakap untuk membela diri.” Paulus memberikan isyarat dengan mengangkat tangan lalu menyampaikan pembelaannya seperti berikut,
2 “Tuanku Raja Agripa! Hamba berasa bertuah kerana dibenarkan membela diri di hadapan tuanku daripada segala tuduhan orang Yahudi,
3 terutama sekali kerana tuanku sangat memahami adat istiadat dan masalah orang Yahudi. Oleh itu, hamba memohon sudilah tuanku mendengarkan keterangan hamba dengan sabar.
4 Semua orang Yahudi mengetahui cara hidup hamba sejak hamba masih muda. Mereka tahu bahawa sejak permulaan, hamba hidup di negeri hamba sendiri dan kemudian di Yerusalem.
5 Sudah lama mereka mengenal hamba. Jika mereka mahu, mereka dapat memberikan kesaksian bahawa sejak permulaan hamba hidup sebagai orang Farisi, dan menuruti semua peraturan agama kami dengan teliti.
6 Sekarang hamba berdiri di hadapan tuanku kerana hamba berharap akan janji yang dibuat oleh Allah kepada nenek moyang kami.
7 Janji itu juga diharap-harapkan oleh dua belas suku Israel, sehingga mereka beribadat kepada Allah siang dan malam. Tuanku, justeru kerana harapan itulah hamba dituduh oleh orang Yahudi.