4 Semua orang Yahudi mengetahui cara hidup hamba sejak hamba masih muda. Mereka tahu bahawa sejak permulaan, hamba hidup di negeri hamba sendiri dan kemudian di Yerusalem.
5 Sudah lama mereka mengenal hamba. Jika mereka mahu, mereka dapat memberikan kesaksian bahawa sejak permulaan hamba hidup sebagai orang Farisi, dan menuruti semua peraturan agama kami dengan teliti.
6 Sekarang hamba berdiri di hadapan tuanku kerana hamba berharap akan janji yang dibuat oleh Allah kepada nenek moyang kami.
7 Janji itu juga diharap-harapkan oleh dua belas suku Israel, sehingga mereka beribadat kepada Allah siang dan malam. Tuanku, justeru kerana harapan itulah hamba dituduh oleh orang Yahudi.
8 Mengapa saudara-saudara orang Yahudi, tidak dapat percaya bahawa Allah membangkitkan orang mati?
9 Dahulu hamba sendiri pun berpendapat bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang Yesus orang Nasaret itu.
10 Itulah yang hamba lakukan di Yerusalem. Dengan surat kuasa daripada ketua-ketua imam, hamba memenjarakan banyak orang di kalangan umat Allah. Hamba pun memberikan persetujuan apabila mereka dijatuhi hukuman mati.