25 Oleh itu tabahkanlah hati saudara-saudara. Saya percaya kepada Allah, bahawa segala-galanya akan berlaku seperti yang dikatakan-Nya kepada saya.
26 Tetapi kita akan terdampar di pantai suatu pulau.”
27 Pada malam yang keempat belas, kami terapung-apung di Laut Tengah. Kira-kira tengah malam, anak kapal mengagak kapal sedang mendekati darat.
28 Oleh itu mereka melempar batu duga untuk mengukur dalamnya laut. Ternyata tempat itu sedalam kira-kira empat puluh meter. Tidak lama kemudian mereka mengukur lagi dan mendapati laut di tempat itu sedalam tiga puluh meter.
29 Mereka takut kapal akan terkandas pada batu karang. Oleh itu mereka menurunkan empat buah sauh dari buritan kapal, lalu berdoa agar fajar segera menyingsing.
30 Anak kapal cuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut lalu berpura-pura hendak menurunkan sauh dari bahagian depan kapal.
31 Tetapi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar di kapal itu, “Jika anak kapal tidak tinggal di kapal, saudara semua tidak boleh selamat.”