9 Pada waktu itu Hari Pengampunan Dosa orang Yahudi sudah lalu. Kami tinggal lama di situ sehingga bukan masanya lagi untuk belayar dengan aman. Oleh itu Paulus menasihatkan mereka begini,
10 “Saudara-saudara, menurut pendapat saya, mulai sekarang perjalanan kita sangat berbahaya. Bukan sahaja muatan dan kapal kita akan mengalami kerosakan besar, bahkan nyawa pun akan hilang.”
11 Tetapi pegawai tentera itu lebih percaya kepada kapten kapal dan pemilik kapal daripada kata-kata Paulus.
12 Pelabuhan di situ memang tidak baik bagi kapal untuk tinggal pada musim sejuk. Oleh itu kebanyakan anak kapal ingin belayar dan meninggalkan pelabuhan itu, serta berharap dapat sampai ke Feniks, lalu tinggal di situ sepanjang musim sejuk. Feniks itu pelabuhan di Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut.
13 Pada waktu itu angin selatan mula bertiup dengan lembut, dan anak kapal menyangka mereka boleh belayar lagi. Oleh itu mereka membongkar sauh lalu belayar menyusur pantai pulau Kreta.
14 Tetapi tidak lama kemudian angin yang sangat kuat, yang disebut angin Timur Laut, membadai dari darat,
15 dan memukul kapal kami. Kerana kapal tidak dapat belayar melawan angin, kami membiarkan kapal mengikut angin.