1 Ada seorang lelaki bernama Ananias. Dia dengan isterinya, Safira menjual sebidang tanah yang dimiliki oleh mereka.
2 Dengan persetujuan isterinya, Ananias menyimpan sebahagian wang itu untuk dirinya sendiri. Yang selebihnya diserahkannya kepada rasul-rasul.
3 Oleh itu Petrus berkata kepadanya, “Ananias, mengapa kamu membiarkan Iblis menguasai hatimu, sehingga kamu berdusta terhadap Roh Allah dengan menyimpan sebahagian daripada wang penjualan tanahmu itu?
4 Bukankah tanah itu milikmu, sebelum kamu menjualnya? Setelah kamu menjualnya, wangnya milikmu juga. Mengapa kamu berniat berbuat demikian? Kamu tidak berdusta terhadap manusia, tetapi terhadap Allah!”
5 Sebaik sahaja Ananias mendengar kata-kata itu, dia jatuh lalu mati. Semua orang yang mendengar peristiwa itu menjadi takut.