1 Kemudian Imam Agung bertanya kepada Stefanus, “Betulkah semua tuduhan itu?”
2 Stefanus menjawab, “Saudara-saudara dan bapa-bapa! Dengarkan saya! Sebelum nenek moyang kita Abraham berpindah ke Haran, Allah yang mulia menampakkan diri kepada dia di Mesopotamia.
3 Allah berfirman kepadanya, ‘Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.’
4 Oleh itu Abraham meninggalkan negeri Kasdim lalu pergi tinggal di Haran. Setelah bapa Abraham meninggal, Allah memimpin Abraham berpindah ke negeri yang sekarang saudara-saudara dan bapa-bapa diami.
5 Pada masa itu Allah tidak memberikan sedikit bahagian pun daripada negeri ini kepada Abraham untuk menjadi miliknya. Tetapi Allah berjanji bahawa Dia akan memberikan tanah itu kepada Abraham untuk menjadi miliknya dan milik keturunannya. Pada masa itu, Abraham tidak mempunyai anak.