7 Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka. Mereka akan keluar dari negeri itu dan akan menyembah Aku di tempat ini.’
8 Allah membuat perjanjian itu dengan Abraham. Lalu Allah menyuruh Abraham bersunat sebagai tanda dia menerima perjanjian itu. Demikianlah Abraham menyunat Ishak, seminggu setelah Ishak dilahirkan; Ishak menyunat Yakub, anaknya dan Yakub menyunat dua belas orang anak lelakinya. Anak-anak Yakub menjadi bapa-bapa bangsa kita.
9 Bapa-bapa bangsa kita iri hati terhadap Yusuf. Mereka menjual dia sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertai dia,
10 dan menyelamatkan dia daripada segala kesusahan. Apabila Yusuf menghadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniai dia budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir menjadikan dia gabenor negeri itu dan penguasa istananya.
11 Lalu berlakulah kebuluran di seluruh negeri Mesir dan Kanaan, sehingga mengakibatkan penderitaan yang berat. Nenek moyang kita tidak dapat memperolehi makanan.
12 Apabila Yakub mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir, dia menyuruh anak-anaknya, nenek moyang kita, pergi ke sana untuk kali pertama.
13 Pada lawatan mereka yang kedua, Yusuf memberitahu saudara-saudaranya bahawa dia Yusuf. Barulah raja Mesir tahu akan keluarga Yusuf.