8 Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.”
9 Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada orang ramai. “Ada seorang yang menanami ladang anggur, lalu menyewakannya kepada beberapa orang. Setelah itu dia pergi ke negeri lain dan tinggal lama di sana.
10 Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi para penyewa ladang memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong.
11 Pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya. Tetapi para penyewa ladang itu juga memukul hamba ini, mempermalukan dia, lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong.
12 Kemudian pemilik ladang itu mengutus hamba ketiga. Penyewa-penyewa ladang itu juga mencederakan hamba ini dan membuang dia ke luar ladang itu.
13 Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang harus aku lakukan? Aku akan mengutus anakku yang aku kasihi. Tentu mereka akan menghormati dia!’
14 Tetapi apabila para penyewa ladang itu nampak dia, mereka bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Mari kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya.’