4 Orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka. Tetapi balu ini, walaupun sangat miskin, mendermakan semua nafkahnya.”
5 Beberapa orang sedang bercakap tentang Rumah Tuhan. Mereka berkata betapa indahnya Rumah Tuhan yang dihias dengan batu yang indah-indah, serta semua barang yang dipersembahkan kepada Allah. Lalu Yesus berkata kepada mereka,
6 “Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya!”
7 Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, bilakah perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?”
8 Yesus berkata, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia!’ dan ‘Masanya sudah tiba!’ Jangan ikut mereka.
9 Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba.”
10 Yesus berkata lagi, “Bangsa yang satu akan berperang melawan bangsa yang lain dan kerajaan yang satu akan menyerang kerajaan yang lain.