30 Sesiapa yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan sesiapa yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku!
31 Oleh itu ketahuilah, orang yang berbuat dosa ataupun mengatakan kata-kata kufur, akan diampuni. Tetapi sesiapa mengkufuri Roh Allah, tidak akan diampuni!
32 Sesiapa yang dengan kata-katanya menentang Anak Manusia dapat diampuni, tetapi sesiapa yang menghina Roh Allah tidak dapat diampuni, baik sekarang mahupun di akhirat!”
33 “Untuk mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok kamu tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya sesuatu pokok diketahui daripada buahnya.
34 Hai kamu orang jahat, bagaimanakah kamu dapat mengatakan perkara-perkara baik padahal kamu ini jahat? Orang mengucapkan apa yang terkandung di dalam hati.
35 Seorang yang baik mengeluarkan perkara-perkara baik, kerana hatinya penuh kebaikan. Seorang yang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hatinya penuh kejahatan.
36 Ketahuilah bahawa pada Hari Kiamat setiap orang harus mempertanggungjawabkan tiap-tiap kata yang tidak seharusnya diucapkan.