37 Kata-kata kamu akan digunakan untuk menentukan sama ada kamu bersalah atau tidak.”
38 Kemudian beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi berkata, “Guru, kami ingin melihat guru melakukan mukjizat.”
39 Tetapi Yesus menjawab, “Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu adalah mukjizat Nabi Yunus.
40 Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi.
41 Pada Hari Kiamat kelak, penduduk Niniwe akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana mereka bertaubat daripada dosa apabila mereka mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus. Tetapi ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!
42 Pada Hari Kiamat kelak, ratu dari Syeba akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran Raja Salomo yang bijak itu. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo!”
43 “Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika tempat tinggal tidak ditemuinya,