25 Oleh itu Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat.
26 Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi orang besar, dia harus melayani orang lain.
27 Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua.
28 Kamu harus berbuat demikian kerana Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.”
29 Ketika Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan Yerikho, banyak orang mengikut mereka.
30 Dua orang buta yang duduk di pinggir jalan mendengar bahawa Yesus sedang lalu di situ. Mereka mula berseru, “Ya Anak Daud, kasihanilah kami!”
31 Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi lebih kuat lagi mereka berseru, “Ya Anak Daud, kasihanilah kami!”