19 Dia melihat sebatang pokok ara di pinggir jalan. Dia menghampiri pokok itu, tetapi tidak mendapati satu buah ara pun. Dia mendapati daun sahaja. Yesus berkata kepada pokok itu, “Hai pokok, engkau tidak akan berbuah lagi!” Dengan segera pokok ara itu layu.
20 Apabila pengikut-pengikut Yesus nampak kejadian itu, mereka hairan. Mereka bertanya, “Bagaimanakah pokok ara itu layu dengan serta-merta?”
21 “Ketahuilah,” jawab Yesus, “jika kamu percaya kepada Allah dan tidak ragu-ragu, kamu akan dapat melakukan apa yang telah Aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, bahkan kamu akan dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Hal itu pun akan berlaku.
22 Apabila kamu berdoa dan percaya bahawa Allah akan melakukan apa yang kamu minta, maka Dia akan melakukannya.”
23 Yesus kembali ke Rumah Tuhan. Semasa Dia mengajar, ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya dan bertanya, “Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak ini kepadamu?”
24 Yesus menjawab, “Aku akan bertanya satu soalan sahaja. Jika kamu menjawabnya, Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.
25 Dengan hak siapa Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?”Mereka mula berbincang sesama sendiri, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’