21 “Ketahuilah,” jawab Yesus, “jika kamu percaya kepada Allah dan tidak ragu-ragu, kamu akan dapat melakukan apa yang telah Aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, bahkan kamu akan dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Hal itu pun akan berlaku.
22 Apabila kamu berdoa dan percaya bahawa Allah akan melakukan apa yang kamu minta, maka Dia akan melakukannya.”
23 Yesus kembali ke Rumah Tuhan. Semasa Dia mengajar, ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya dan bertanya, “Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak ini kepadamu?”
24 Yesus menjawab, “Aku akan bertanya satu soalan sahaja. Jika kamu menjawabnya, Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.
25 Dengan hak siapa Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?”Mereka mula berbincang sesama sendiri, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’
26 Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia,’ kita takut akan apa yang mungkin dilakukan orang ramai, kerana mereka semua yakin bahawa Yohanes seorang nabi.”
27 Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.”Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.”