23 Pada hari itu juga, beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.
24 “Guru,” kata mereka, “Musa mengajarkan demikian: Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya untuk memberikan keturunan kepada orang yang sudah meninggal itu.
25 Dahulu ada tujuh orang adik-beradik tinggal di sini. Yang sulung berkahwin lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Oleh itu, saudara yang kedua berkahwin dengan balunya.
26 Saudara yang kedua pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh.
27 Akhirnya wanita itu meninggal.
28 Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Mereka semua telah berkahwin dengan dia.”
29 Yesus menjawab, “Pendapat kamu salah sekali! Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah.