1 “Ingatlah, janganlah kamu lakukan kewajipan agama di hadapan umum supaya dilihat orang. Jika kamu berbuat demikian, kamu tidak akan menerima pahala daripada Bapa kamu yang di syurga.
2 Oleh itu, apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan perbuatan itu seperti yang dilakukan oleh orang munafik di dalam rumah ibadat dan di jalan raya. Mereka melakukan perkara itu supaya dipuji orang. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran mereka.
3 Tetapi apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, lakukanlah hal itu secara diam-diam, supaya sahabat karib kamu sekalipun tidak mengetahuinya.
4 Biarlah hal itu tidak diketahui oleh sesiapa pun. Bapa kamu yang melihat perbuatan yang tersembunyi itu akan memberikan pahala kepada kamu.”
5 “Apabila kamu berdoa, jangan seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di rumah ibadat dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran mereka.
6 Tetapi apabila kamu berdoa, masuklah ke bilik dan tutuplah pintu, lalu berdoalah kepada Bapa kamu yang tidak kelihatan itu. Bapa kamu yang mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi itu, akan memberikan pahala kepada kamu.
7 Apabila kamu berdoa, jangan gunakan banyak kata yang tidak bererti seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka bahawa Allah akan mendengarkan permintaan mereka kerana doa mereka panjang.