1 Kita yang mempunyai iman teguh harus menolong orang yang lemah keyakinan untuk memikul beban mereka. Janganlah kita lakukan hal-hal yang menyenangkan hati kita sahaja.
2 Sebaliknya setiap orang daripada kita harus menyenangkan hati saudaranya bagi kebaikannya, supaya imannya menjadi semakin teguh.
3 Kita berbuat demikian, kerana Kristus pun tidak memikirkan kesenangan diri-Nya sendiri. Di dalam Alkitab tertulis, “Segala cercaan yang ditujukan kepada-Mu kena padaku.”
4 Segala yang tertulis di dalam Alkitab adalah untuk mengajar kita, supaya kita mempunyai harapan kerana ajaran daripada Alkitab menyebabkan kita bersabar dan berteguh hati.
5 Semoga Allah yang menyebabkan kamu bersabar dan berteguh hati, membolehkan kamu hidup seia sekata menurut teladan Kristus Yesus.