4 Kamu mungkin meremehkan kebaikan hati Allah, kemurahan hati-Nya, dan kesabaran-Nya yang tidak terhingga. Kamu tentu tahu bahawa Allah menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia mahu kamu bertaubat daripada dosa.
5 Kamu degil dan keras kepala. Oleh itu, kamu sendiri yang menjadikan hukuman kamu semakin berat pada Hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaan-Nya dan menjatuhkan hukuman yang adil.
6 Hal itu demikian, kerana Allah akan membalas setiap orang setimpal dengan perbuatannya.
7 Allah akan memberikan hidup sejati dan kekal kepada mereka yang sentiasa berbuat baik, dan mengharapkan kemuliaan, penghormatan, dan hidup yang kekal.
8 Tetapi mereka yang mementingkan diri sendiri dan menolak Allah supaya dapat melakukan kejahatan, akan ditimpa kemurkaan dan kemarahan Allah.
9 Setiap orang yang berbuat jahat akan menanggung kesengsaraan dan penderitaan: mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi.
10 Tetapi Allah akan memberikan kemuliaan, penghormatan, dan kesejahteraan kepada semua orang yang berbuat baik: mula-mula kepada orang Yahudi, dan juga kepada orang bukan Yahudi.