Roma 7:1-7 BMDC

1 Saudara-saudaraku, tentu kamu faham akan apa yang hendak aku katakan, kerana kamu semua memahami hukum. Seseorang berada di bawah kekuasaan hukum, hanya selama dia masih hidup.

2 Seorang wanita yang bersuami, umpamanya, terikat oleh hukum kepada suaminya hanya selama suaminya masih hidup. Tetapi jika suaminya meninggal, wanita itu bebas daripada hukum yang mengikatnya kepada suaminya.

3 Jika wanita itu hidup dengan lelaki lain semasa suaminya masih hidup, wanita itu dikatakan berzina. Tetapi jika suaminya meninggal, dari segi hukum, wanita itu sudah bebas. Jika dia berkahwin dengan lelaki lain, dia tidak berzina.

4 Saudara-saudaraku, begitu juga halnya dengan kamu. Dari segi Taurat, kamu sudah mati, kerana kamu sebahagian daripada tubuh Kristus. Kamu sekarang menjadi milik Dia yang sudah dibangkitkan daripada kematian, supaya kita menjadi berguna bagi Allah dalam kehidupan kita.

5 Dahulu kita hidup menurut tabiat manusia, dan pelbagai keinginan yang berdosa timbul dalam diri kita kerana adanya Taurat. Hal itu menyebabkan kita melakukan perkara-perkara yang mengakibatkan kematian.

6 Tetapi sekarang kita bebas daripada kuasa Taurat, kerana kita sudah mati terhadap Taurat yang dahulu menguasai kita. Kita tidak lagi mengabdikan diri dengan cara lama menurut hukum yang tertulis. Tetapi sekarang kita mengabdikan diri menurut cara baru yang ditunjukkan oleh Roh Allah.

7 Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Taurat itu jahat? Tentu tidak! Tetapi Tauratlah yang menyebabkan aku tahu akan dosa. Jika Taurat tidak mengatakan, “Jangan tamak akan harta orang,” aku tidak tahu akan ketamakan.