1 Sekarang tidak ada lagi hukuman bagi mereka yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.
2 Hal itu demikian kerana hukum Roh Allah yang menyebabkan kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, sudah membebaskan aku daripada hukum dosa dan kematian.
3 Perkara yang gagal dilakukan oleh Taurat kerana tabiat manusia lemah, sudah dilakukan oleh Allah. Allah mengalahkan kuasa dosa yang ada dalam tabiat manusia dengan mengutus Anak-Nya sendiri, yang datang dalam keadaan manusia yang cenderung berbuat dosa, untuk menghapuskan dosa.
4 Allah berbuat demikian supaya kehendak-Nya yang dinyatakan di dalam Taurat dapat kita lakukan dengan sepenuhnya dalam hidup kita yang menurut kehendak Roh Allah, dan bukan menurut kehendak tabiat manusia.
5 Orang yang hidup menurut kehendak tabiat manusia, fikiran mereka dikuasai oleh tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak Roh Allah, fikiran mereka dikuasai oleh Roh Allah.
6 Jika fikiran kamu dikuasai oleh tabiat manusia, hal itu mengakibatkan kematian. Tetapi jika fikiran kamu dikuasai oleh Roh Allah, Allah akan mengurniai kamu hidup dan kedamaian.
7 Seseorang yang fikirannya dikuasai oleh tabiat manusia, menjadi musuh Allah. Orang itu tidak mentaati hukum Allah, dan sebenarnya dia tidak dapat mentaati hukum Allah.