1 Apa yang aku katakan ini benar; aku milik Kristus dan aku tidak berdusta. Hati nuraniku yang dikuasai oleh Roh Allah, juga meyakinkan aku bahawa aku tidak berdusta.
2 Aku sangat sedih dan menderita,
3 kerana saudara-saudaraku, orang yang sebangsa denganku. Bagi kepentingan mereka, aku rela dikutuk oleh Allah dan dipisahkan daripada Kristus.
4 Merekalah umat yang dipilih oleh Allah; Allah menjadikan mereka anak-Nya sendiri dan menunjukkan kemuliaan-Nya kepada mereka. Dia mengadakan perjanjian-perjanjian dengan mereka dan memberi mereka Taurat. Mereka diberitahu oleh Allah cara menyembah Dia dengan betul, dan mereka menerima janji-janji Allah.