4 Merekalah umat yang dipilih oleh Allah; Allah menjadikan mereka anak-Nya sendiri dan menunjukkan kemuliaan-Nya kepada mereka. Dia mengadakan perjanjian-perjanjian dengan mereka dan memberi mereka Taurat. Mereka diberitahu oleh Allah cara menyembah Dia dengan betul, dan mereka menerima janji-janji Allah.
5 Mereka keturunan nenek moyang kita yang terkemuka. Kristus, sebagai manusia, berasal daripada bangsa mereka. Hendaklah Allah yang menguasai segala sesuatu, dipuji selama-lamanya! Amin.
6 Aku tidak mengatakan bahawa apa yang dijanjikan oleh Allah tidak berlaku. Apa yang dijanjikan-Nya sudah berlaku, kerana bukan semua orang Israel umat yang dipilih-Nya.
7 Bukan semua keturunan Abraham anak-anak Allah. Allah berfirman kepada Abraham, “Hanya keturunan Ishak yang akan disebut keturunanmu.”
8 Hal ini bererti bahawa tidak semua keturunan Abraham menjadi anak-anak Allah, tetapi hanya keturunan yang dilahirkan menurut janji Allah.
9 Hal itu demikian, kerana inilah yang difirmankan oleh Allah ketika Dia berjanji kepada Abraham, “Pada waktu yang ditetapkan, Aku akan kembali, dan Sara akan melahirkan seorang anak lelaki.”
10 Bukan demikian sahaja. Kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, nenek moyang kita.