6 Mereka telah menumpahkan darah umat Allah dan darah para nabi. Sekarang Engkau memberi mereka minum darah. Hukuman itu setimpal dengan perbuatan mereka!”
7 Kemudian aku mendengar suara dari mazbah berkata, “Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa! Hukuman-Mu itu benar dan adil!”
8 Kemudian malaikat keempat menuang isi mangkuknya ke atas matahari, lalu matahari dibenarkan menghanguskan manusia dengan panasnya yang terik.
9 Manusia dihanguskan oleh panas yang terik itu dan mereka mengutuki Allah, yang berkuasa atas semua malapetaka tersebut. Tetapi mereka tidak mahu bertaubat daripada dosa dan tidak mahu memuji keagungan Allah.
10 Kemudian malaikat kelima menuang isi mangkuknya ke takhta binatang itu. Lalu seluruh kerajaan binatang itu menjadi gelap dan manusia menggigit lidah kerana kesakitan.
11 Mereka mengutuki Allah di syurga kerana kesakitan dan kudis mereka. Tetapi mereka tidak bertaubat daripada perbuatan jahat mereka.
12 Kemudian malaikat keenam menuang isi mangkuknya ke dalam Sungai Efrat yang besar. Sungai itu menjadi kering sehingga raja-raja dari timur dapat melaluinya.