Wahyu 2:8-14 BMDC

8 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Smirna:Inilah perkhabaran daripada Dia yang awal dan yang penghujung, yang sudah mati dan hidup semula.

9 Aku mengetahui kesusahan kamu; Aku tahu bahawa kamu miskin - tetapi sebenarnya kamu kaya! Aku mengetahui fitnah yang dilemparkan kepada kamu oleh orang yang mengaku diri mereka Yahudi padahal bukan. Mereka dikuasai oleh Iblis!

10 Janganlah takut akan penderitaan yang tidak lama lagi akan kamu alami. Ketahuilah! Iblis akan menguji kamu. Dia akan memasukkan beberapa orang daripada kamu ke dalam penjara. Kamu akan mengalami penderitaan selama sepuluh hari. Hendaklah kamu setia kepada-Ku sampai mati, dan Aku akan mengurniai kamu hidup sejati dan kekal sebagai hadiah kemenangan.

11 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!Mereka yang menang tidak akan mengalami derita kematian kedua.”

12 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Pergamus:Inilah perkhabaran daripada Dia yang memiliki sebilah pedang tajam bermata dua.

13 Aku mengetahui tempat kamu tinggal; di situlah Iblis bertakhta. Kamu setia kepada-Ku. Kamu bahkan tidak menafikan kepercayaan kamu kepada-Ku, semasa Antipas, saksi-Ku yang setia itu dibunuh di tempat Iblis tinggal.

14 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Beberapa orang antara kamu mengikut ajaran Bileam. Dahulu Bileam mengajar Balak menjerumuskan umat Israel ke dalam dosa, dengan memujuk mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, dan dengan melakukan perbuatan cabul.