1 Kemudian malaikat kelima meniup trompetnya, dan aku nampak sebuah bintang jatuh dari langit ke atas bumi. Bintang itu diberikan kunci jurang maut.
2 Bintang itu membuka jurang maut, lalu asap keluar dari dalamnya seperti asap dari relau yang besar. Matahari dan angkasa menjadi gelap kerana asap dari jurang itu.
3 Lalu dari dalam asap keluarlah belalang-belalang yang turun ke atas bumi. Belalang-belalang itu diberikan kekuatan yang dimiliki kala jengking.
4 Belalang-belalang itu dilarang merosak rumput, atau pokok, ataupun tanaman lain. Hanya orang yang tidak bertandakan meterai Allah pada dahi mereka boleh diserang.
5 Belalang-belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka, tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Kesakitan yang disebabkan seksaan belalang-belalang itu seperti kesakitan yang disebabkan sengat kala jengking.
6 Selama lima bulan itu mereka berusaha untuk mati, tetapi tidak dapat; mereka ingin mati, tetapi maut menjauhkan diri daripada mereka.
7 Belalang-belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap untuk berperang. Pada kepala belalang ada sesuatu yang nampaknya seperti mahkota emas, dan muka belalang seperti muka manusia.