11 Kawanan belalang diperintah oleh raja, iaitu malaikat yang bertanggungjawab atas jurang maut. Dalam bahasa Ibrani namanya Abadon, dan dalam bahasa Yunani namanya Apolion (yang bermakna “Perosak”).
12 Bencana pertama sudah lalu. Setelah itu dua lagi bencana akan datang.
13 Kemudian malaikat keenam meniup trompetnya dan aku mendengar suara yang datang dari keempat-empat sudut mazbah emas di hadapan Allah.
14 Suara itu berkata kepada malaikat keenam, “Lepaskanlah keempat-empat malaikat yang terikat di Sungai Efrat itu!”
15 Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah dipersiapkan khas bagi jam, hari, bulan, dan tahun itu, untuk membunuh sepertiga daripada umat manusia.
16 Aku diberitahukan bahawa pasukan berkuda itu berjumlah 200 juta.
17 Dalam penglihatan, aku nampak banyak kuda dengan para penunggang kuda. Mereka memakai perisai dada berwarna merah seperti api, biru seperti batu nilam, dan kuning seperti belerang. Kepala kuda seperti kepala singa dan dari mulut kuda keluar api, asap, dan belerang.