12 Saudara-saudaraku, hal ini penting sekali: janganlah bersumpah apabila membuat janji. Janganlah bersumpah demi langit atau bumi, ataupun apa sahaja. Katakanlah “Ya” apabila maksudmu ya, dan “Tidak” apabila maksudmu tidak. Dengan demikian kamu tidak akan dihukum oleh Allah.
13 Adakah sesiapa antara kamu sedang mengalami kesusahan? Hendaklah dia berdoa. Adakah sesiapa yang bersukacita? Hendaklah dia menyanyikan lagu pujian kepada Allah.
14 Adakah sesiapa yang sakit? Hendaklah dia memanggil pemimpin-pemimpin jemaah, supaya mereka berdoa baginya dan menyapukan minyak zaitun padanya demi nama Tuhan.
15 Doa yang diucapkan dengan iman, akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya dan dosa yang sudah dilakukannya akan diampunkan.
16 Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan dan berdoa bagi satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang melakukan kehendak Allah mempunyai kuasa yang besar.
17 Elia pun orang biasa seperti kita. Dia berdoa dengan tekun supaya hujan tidak turun, dan hujan pun tidak turun selama tiga tahun setengah.
18 Kemudian dia berdoa lagi, lalu langit mencurahkan hujan dan tanah mengeluarkan hasilnya.