6 Kamu menghukum dan membunuh orang yang tidak bersalah, dan mereka tidak melawan kamu.
7 Oleh itu, saudara-saudaraku, bersabarlah sehingga Tuhan datang. Lihatlah betapa sabarnya seorang peladang menunggu tanahnya mengeluarkan hasil yang berharga. Dengan sabar dia menunggu hujan musim luruh dan hujan musim bunga.
8 Kamu juga mesti bersabar. Teguhkanlah hati kamu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah dekat.
9 Saudara-saudaraku, janganlah saling bersungut-sungut, supaya kamu tidak dihakimi oleh Allah. Hakim sudah dekat dan segera datang.
10 Saudara-saudaraku, ingatlah akan nabi-nabi yang bersabda demi nama Tuhan. Contohilah kesabaran dan ketabahan mereka pada masa menanggung penderitaan.
11 Kami menyebut mereka berbahagia kerana mereka tabah menanggung penderitaan. Kamu telah mendengar kisah tentang kesabaran Ayub, dan kamu tahu bagaimana Tuhan memberkati dia pada akhirnya. Hal itu berlaku kerana Tuhan berbelas kasihan dan baik hati.
12 Saudara-saudaraku, hal ini penting sekali: janganlah bersumpah apabila membuat janji. Janganlah bersumpah demi langit atau bumi, ataupun apa sahaja. Katakanlah “Ya” apabila maksudmu ya, dan “Tidak” apabila maksudmu tidak. Dengan demikian kamu tidak akan dihukum oleh Allah.