32 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Banyak perbuatan baik sudah Aku lakukan untuk kamu dengan kuasa Bapa-Ku. Perbuatan manakah yang menyebabkan kamu mahu merejam Aku?”
33 Orang Yahudi di situ menjawab, “Kami mahu merejam kamu bukan kerana perbuatanmu yang baik, tetapi kerana kamu mengkufuri Allah! Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Allah!”
34 Yesus berkata kepada mereka, “Tidakkah tertulis di dalam Taurat kamu: Allah berfirman, ‘Kamu ilahi’?
35 Kita tahu bahawa apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku untuk selama-lamanya. Allah menyebut orang yang menerima firman-Nya sebagai ilahi.
36 Aku ini dipilih dan diutus oleh Bapa ke dunia. Dapatkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku mengaku sebagai Anak Allah?
37 Jika Aku tidak melakukan apa yang dikehendaki oleh Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.
38 Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Aku lakukan itu, meskipun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian kamu tahu dan mengerti bahawa Bapa bersatu dengan Aku, dan Aku bersatu dengan Bapa.”