22 Musa memberikan peraturan bersunat. Oleh itu pada hari Sabat pun kamu mahu menyunat anak lelaki kamu. (Sebenarnya peraturan bersunat bukan berasal daripada Musa tetapi daripada nenek moyang kamu sebelum Musa.)
23 Jika seorang anak lelaki boleh disunat pada hari Sabat supaya tidak melanggar Taurat Musa, mengapakah kamu marah terhadap Aku kerana Aku menyembuhkan seseorang dengan sepenuhnya pada hari Sabat?
24 Janganlah hakimi orang berdasarkan apa yang kelihatan, tetapi berdasarkan keadilan.”
25 Beberapa orang penduduk Yerusalem berkata, “Bukankah dia ini yang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh?
26 Lihatlah, dia berkata-kata di hadapan umum, tetapi penguasa kita tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah mereka sudah tahu bahawa dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?
27 Tetapi apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah itu datang, tidak seorang pun akan mengetahui tempat asal-Nya. Tetapi kita mengetahui tempat asal orang ini.”
28 Sementara Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya dengan suara lantang, “Benar-benarkah kamu mengetahui siapa Aku ini dan tempat asal-Ku? Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus Aku dapat dipercaya, tetapi kamu tidak mengenal Dia.