26 Lihatlah, dia berkata-kata di hadapan umum, tetapi penguasa kita tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah mereka sudah tahu bahawa dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?
27 Tetapi apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah itu datang, tidak seorang pun akan mengetahui tempat asal-Nya. Tetapi kita mengetahui tempat asal orang ini.”
28 Sementara Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya dengan suara lantang, “Benar-benarkah kamu mengetahui siapa Aku ini dan tempat asal-Ku? Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus Aku dapat dipercaya, tetapi kamu tidak mengenal Dia.
29 Aku mengenal Dia, kerana Dialah yang mengutus Aku dan Aku datang daripada-Nya.”
30 Kemudian para penguasa Yahudi cuba menangkap Dia, tetapi tiada seorang pun berani memegang Yesus kerana saat-Nya belum tiba.
31 Tetapi banyak antara orang ramai percaya kepada-Nya. Mereka berkata, “Apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah datang, dapatkah Dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?”
32 Orang Farisi mendengar orang ramai berbisik-bisik tentang Yesus. Oleh itu, mereka dan ketua-ketua imam menyuruh beberapa orang pengawal Rumah Tuhan menangkap Yesus.