1 Pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Yehu di Israel, Raja Yoas menjadi raja Yehuda. Raja Yoas memerintah di Yerusalem selama empat puluh tahun. Bondanya bernama Zibya, orang dari kota Bersyeba.
2 Seumur hidupnya Raja Yoas melakukan perkara-perkara yang diperkenankan TUHAN, kerana Imam Yoyada menasihati baginda.
3 Walaupun demikian, tempat penyembahan dewa tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ.
4 Raja Yoas memanggil para imam dan memerintah mereka mengumpulkan wang yang diterima sebagai persembahan di Rumah TUHAN, baik wang pembayaran penyelenggaraan korban, mahupun wang persembahan sukarela.
5 Tiap-tiap imam bertanggungjawab terhadap wang yang diterima daripada orang yang dilayaninya, dan wang itu akan digunakan untuk memperbaiki Rumah TUHAN.
6 Tetapi hingga tahun kedua puluh tiga pemerintahan Raja Yoas, imam-imam itu masih belum memperbaiki kerosakan-kerosakan di Rumah TUHAN.
7 Oleh itu Raja Yoas memanggil Yoyada dan imam-imam yang lain, lalu bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu tidak memperbaiki Rumah TUHAN? Mulai sekarang kamu tidak dibenarkan menyimpan wang yang kamu terima. Kamu harus menyerahkan semuanya untuk memperbaiki Rumah TUHAN.”