4 Raja Amazia tidak merobohkan tempat-tempat penyembahan berhala dan rakyat tidak berhenti mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ.
5 Apabila pemerintahan Raja Amazia sudah kukuh, baginda membunuh para pegawai yang membunuh ayahandanya, raja yang memerintah sebelum baginda.
6 Raja Amazia tidak membunuh anak-anak mereka kerana baginda menurut perintah TUHAN dalam Taurat Musa yang berbunyi demikian, “Ibu bapa tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan anak mereka. Anak-anak tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan ibu bapa mereka. Setiap orang hendaklah dihukum mati kerana kesalahan yang dibuatnya sendiri sahaja.”
7 Raja Amazia membunuh sepuluh ribu orang askar Edom di Lembah Asin, dan merebut kota Sela. Baginda menamakan kota itu Yokteel. Sampai sekarang kota itu masih bernama Yokteel.
8 Kemudian Raja Amazia mengutus beberapa orang utusan kepada Raja Yehoas di Israel untuk mencabar baginda berperang.
9 Tetapi Raja Yehoas menjawab cabaran itu demikian, “Pada suatu masa semak berduri di Gunung Lebanon mengirim berita kepada pokok sedar, ‘Benarkanlah anak perempuanmu berkahwin dengan anak lelakiku.’ Tetapi seekor binatang liar lalu di sana dan menginjak semak berduri itu.
10 Hai Raja Amazia, setelah mengalahkan orang Edom, Raja Amazia menjadi sombong! Berpuas hatilah dengan kemenangan sekarang dan tinggallah di rumah. Mengapa mencari-cari masalah yang akhirnya akan mendatangkan bencana kepada diri Raja Amazia dan rakyat?”