4 Baginda memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, memecahkan tiang-tiang batu, dan merobohkan patung-patung Dewi Asyera. Baginda juga menghancurkan ular gangsa yang dibuat oleh Musa dahulu, yang dikenal sebagai Nehustan, kerana hingga masa itu umat Israel masih membakar kemenyan untuk menghormati ular gangsa itu.
5 Raja Hizkia percaya kepada TUHAN, Allah Israel. Tidak pernah lagi Yehuda mempunyai raja seperti Raja Hizkia, baik sebelum ataupun sesudah pemerintahan baginda.
6 Raja Hizkia taat kepada TUHAN, dan tidak pernah membantah-Nya. Dengan sungguh-sungguh baginda mentaati segala perintah yang telah diberikan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa.
7 Oleh itu TUHAN menyertai baginda, dan baginda berjaya dalam segala usahanya. Baginda memberontak terhadap raja Asyur dan tidak mahu takluk kepadanya.
8 Raja Hizkia mengalahkan orang Filistin dan menjarah daerah mereka, dari kampung yang terkecil sampai ke kota yang terbesar, termasuk Gaza dan kawasan di sekitarnya.
9 Pada tahun keempat pemerintahan Raja Hizkia, iaitu pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Hosea di Israel, Raja Salmaneser dari Asyur menyerang Israel dan mengepung kota Samaria.
10 Tiga tahun kemudian, kota Samaria dikalahkan. Hal itu berlaku pada tahun keenam pemerintahan Raja Hizkia, dan tahun kesembilan pemerintahan Raja Hosea.