2 Raja-Raja 23:14-20 BMDC

14 Raja Yosia merobohkan lambang-lambang yang dikhaskan untuk Dewi Asyera, dan menghancurkan tiang-tiang batu, lalu menimbuni tanah itu dengan tulang-tulang manusia.

15 Raja Yosia juga merobohkan tempat pemujaan di Betel, yang dibina oleh Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan Israel berdosa. Raja Yosia merobohkan mazbah di tempat pemujaan itu. Baginda menghancurkan batu-batu mazbah itu, dan menumbuknya menjadi debu. Baginda juga membakar patung Dewi Asyera.

16 Selepas itu Raja Yosia melihat di sekelilingnya dan nampak beberapa kubur di atas bukit. Baginda membongkar kubur-kubur itu, lalu mengeluarkan dan membakar tulang dari kubur-kubur itu, di atas mazbah. Demikianlah Raja Yosia mencemarkan mazbah itu. Dengan demikian terjadilah nubuat seorang nabi pada masa perayaan, ketika Raja Yerobeam berdiri dekat mazbah itu. Raja Yosia melihat lagi di sekelilingnya, lalu nampak sebuah kubur lain.

17 Raja Yosia bertanya, “Kubur siapakah ini?”Penduduk Betel berkata, “Inilah kubur nabi dari Yehuda yang menubuatkan perkara-perkara yang baru sahaja tuanku lakukan terhadap mazbah ini.”

18 Lalu Raja Yosia bertitah, “Biarkanlah kubur itu. Jangan pindahkan tulangnya!”Oleh itu tulang nabi dari Yehuda itu tidak dipindahkan. Tulang nabi dari Samaria pun tidak dipindahkan.

19 Di tiap-tiap kota di Israel, Raja Yosia merobohkan semua tempat pemujaan dewa yang dibina oleh raja-raja Israel, yang telah membangkitkan kemurkaan TUHAN. Baginda memperlakukan mazbah-mazbah itu seperti apa yang dilakukan baginda di Betel.

20 Raja Yosia membunuh semua imam yang bertugas di tempat pemujaan dewa itu di atas mazbah-mazbah mereka sendiri. Baginda juga membakar tulang manusia di atas tiap-tiap mazbah. Selepas itu Raja Yosia kembali ke Yerusalem.