19 Di tiap-tiap kota di Israel, Raja Yosia merobohkan semua tempat pemujaan dewa yang dibina oleh raja-raja Israel, yang telah membangkitkan kemurkaan TUHAN. Baginda memperlakukan mazbah-mazbah itu seperti apa yang dilakukan baginda di Betel.
20 Raja Yosia membunuh semua imam yang bertugas di tempat pemujaan dewa itu di atas mazbah-mazbah mereka sendiri. Baginda juga membakar tulang manusia di atas tiap-tiap mazbah. Selepas itu Raja Yosia kembali ke Yerusalem.
21 Kemudian Raja Yosia memerintah rakyat baginda merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, Allah mereka, sebagaimana yang tertulis di dalam kitab perjanjian.
22 Belum pernah Paska seperti ini dirayakan oleh mana-mana raja Israel atau raja Yehuda sejak zaman pahlawan-pahlawan memerintah Israel.
23 Tetapi sekarang, pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, Paska dirayakan di Yerusalem.
24 Untuk menguatkuasakan hukum-hukum yang terkandung di dalam kitab yang ditemui oleh Imam Agung Hilkia di Rumah TUHAN itu, Raja Yosia mengusir semua dukun dan tukang tilik dari Yerusalem. Raja Yosia juga membuang semua dewa rumahtangga, berhala, dan semua benda yang digunakan untuk pemujaan dewa.
25 Belum pernah ada seorang raja yang seperti Raja Yosia, yang mengabdi kepada TUHAN dengan segenap hati, serta menunjukkan pengabdian itu dalam cara hidup dan perbuatan baginda, sesuai dengan seluruh Taurat Musa. Sesudah Raja Yosia, tiada lagi raja yang seperti baginda.