2 Tawarikh 1:9-15 BMDC

9 Ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau buat kepada bapaku. Engkau telah melantik aku menjadi raja bagi satu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung.

10 Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan dan pengetahuan yang aku perlukan untuk memerintah mereka. Jika tidak, aku tidak sanggup memerintah umat-Mu yang banyak ini.”

11 Allah berfirman kepada Salomo, “Engkau telah membuat pilihan yang tepat. Engkau tidak meminta kekayaan, atau harta, atau kemasyhuran, atau kematian musuhmu, ataupun umur panjang untuk dirimu sendiri; sebaliknya engkau meminta kebijaksanaan dan pengetahuan supaya engkau dapat memerintah umat-Ku, dan engkau telah Kujadikan raja mereka.

12 Aku akan mengurniakan kebijaksanaan dan pengetahuan kepadamu. Selain itu, Aku juga akan mengurniai engkau kekayaan dan harta yang lebih banyak lagi, serta menjadikan engkau lebih termasyhur daripada raja lain baik pada masa lampau mahupun pada masa hadapan.”

13 Kemudian Raja Salomo meninggalkan tempat ibadat di Gibeon, iaitu tempat Khemah TUHAN, lalu baginda pulang ke Yerusalem. Di sana baginda memerintah Israel.

14 Raja Salomo melengkapi angkatan perangnya dengan 1,400 buah kereta kuda, dan 12,000 ekor kuda untuk pasukan berkuda. Sebahagian angkatan itu ditempatkannya di Yerusalem, dan yang lain ditempatkan di berbagai-bagai kota lain.

15 Pada masa pemerintahan Raja Salomo, perak dan emas menjadi barang biasa seperti batu di Yerusalem, dan kayu sedar pun banyak seperti kayu ara di kaki bukit di Yehuda.