1 Raja Hizkia menjadi raja Yehuda ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Bondanya ialah Abia anak Zakharia.
2 Raja Hizkia melakukan apa yang diperkenankan TUHAN, seperti nenek moyangnya Raja Daud.
3 Pada bulan pertama selepas Raja Hizkia menjadi raja, baginda membuka semula pintu-pintu gerbang Rumah TUHAN serta membaikinya.
4 Raja Hizkia mengumpulkan imam-imam dan orang Lewi di halaman sebelah timur Rumah TUHAN.
5 Raja Hizkia bertitah kepada mereka di situ. Titah baginda, “Hendaklah kamu orang Lewi mentahbiskan diri untuk TUHAN dan menyucikan Rumah TUHAN, Allah nenek moyang kamu. Buanglah semua barang yang menajiskan Rumah TUHAN.
6 Nenek moyang kita tidak setia kepada TUHAN, Allah kita. Mereka telah melakukan apa yang tidak diperkenankan oleh-Nya. Mereka menolak Dia dan tidak mempedulikan tempat kediaman-Nya.
7 Mereka menutup Rumah TUHAN dan memadamkan pelita di situ. Mereka tidak lagi membakar kemenyan, atau mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN di Rumah TUHAN, kepada Allah yang disembah oleh orang Israel.