2 Tawarikh 34:27-33 BMDC

27 dan engkau bertaubat serta merendahkan diri di hadapan-Ku. Engkau mengoyakkan pakaian serta menangis ketika engkau mendengar ancaman-Ku untuk menghukum Yerusalem dan penduduknya. Aku telah mendengar doamu,

28 oleh itu hukuman yang akan Aku jatuhkan kepada Yerusalem tidak akan berlaku semasa hidupmu. Aku akan membenarkan engkau meninggal dengan tenteram.”Utusan-utusan itu pun pulang kepada Raja Yosia dan menyampaikan perkhabaran itu.

29 Raja Yosia memanggil semua pemimpin Yehuda dan Yerusalem,

30 lalu mereka bersama-sama pergi ke Rumah TUHAN. Mereka disertai para imam, orang Lewi dan segenap rakyat, baik yang kaya mahupun yang miskin. Di hadapan mereka semua, raja membacakan seluruh kandungan kitab perjanjian itu, yang telah ditemui di dalam Rumah TUHAN.

31 Raja berdiri di sisi tiang yang khas untuk raja, lalu membuat perjanjian dengan TUHAN bahawa baginda akan taat kepada-Nya, dan menurut hukum serta perintah-Nya dengan segenap hati dan jiwa, serta memenuhi segala syarat perjanjian yang tercatat di dalam kitab itu.

32 Raja menyuruh semua orang Benyamin dan orang yang berada di Yerusalem supaya berjanji untuk taat kepada perjanjian itu. Demikianlah penduduk Yerusalem taat kepada peraturan-peraturan dalam perjanjian itu, iaitu perjanjian antara mereka dengan Allah nenek moyang mereka.

33 Raja Yosia memusnahkan semua berhala yang menjijikkan, yang terdapat di seluruh wilayah orang Israel. Kemudian baginda mewajibkan rakyatnya beribadat kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Oleh itu selama Raja Yosia hidup, rakyat tetap setia kepada TUHAN.