2 Tawarikh 35:6-12 BMDC

6 Kamulah yang harus menyembelih domba dan kambing untuk Perayaan Paska. Oleh itu sucikanlah diri kamu dan sediakanlah korban-korban itu, supaya sesama kamu umat Israel dapat melaksanakan apa yang diperintahkan TUHAN melalui Musa.”

7 Raja Yosia menyumbangkan 30,000 ekor domba, anak domba, dan anak kambing, serta 3,000 ekor lembu jantan daripada ternakan baginda sendiri, kepada rakyat yang hadir di situ supaya mereka dapat mempersembahkan korban untuk Perayaan Paska.

8 Pegawai-pegawai Yosia juga memberikan sumbangan kepada rakyat, para imam, dan orang Lewi. Pegawai-pegawai yang bertugas di Rumah TUHAN, iaitu Imam Agung Hilkia, Zakharia, dan Yehiel, memberikan 2,600 ekor anak domba dan anak kambing, serta 300 ekor lembu jantan, kepada para imam untuk dipersembahkan pada masa perayaan itu.

9 Pemimpin-pemimpin orang Lewi, iaitu Konanya, Semaya dan Netaneel saudaranya, Hasabya, Yeiel, dan Yozabad, memberikan 5,000 ekor anak domba dan anak kambing, serta 500 ekor lembu jantan, kepada orang Lewi untuk dipersembahkan pada perayaan itu.

10 Apabila semuanya telah disiapkan untuk perayaan Paska, para imam, dan orang Lewi mengambil tempat masing-masing seperti yang diperintahkan oleh raja.

11 Selepas kambing dan domba disembelih, orang Lewi menguliti semuanya; kemudian para imam memercikkan darah binatang itu di atas mazbah.

12 Mereka membahagikan binatang-binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, kepada tiap-tiap kumpulan keluarga, supaya mereka dapat mempersembahkannya menurut peraturan Taurat Musa.