2 Tawarikh 36:13-19 BMDC

13 Raja Zedekia memberontak terhadap Raja Nebukadnezar, yang memaksa baginda bersumpah demi Allah bahawa baginda akan setia kepada Raja Nebukadnezar. Raja Zedekia berdegil dan tidak mahu bertaubat serta kembali kepada TUHAN, Allah Israel.

14 Selain itu, pemimpin-pemimpin Yehuda, para imam, dan rakyat mengikut cara hidup bangsa-bangsa jiran yang berdosa. Mereka menyembah berhala dan menajiskan Rumah TUHAN, yang telah dikhaskan oleh TUHAN sendiri bagi diri-Nya.

15 Selama itu TUHAN, Allah nenek moyang mereka, terus-menerus mengutus nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya, kerana Dia hendak menyelamatkan mereka dan Rumah TUHAN.

16 Tetapi mereka mempermainkan utusan-utusan Allah itu, tidak menghiraukan firman-Nya, dan mentertawakan nabi-nabi-Nya. Akhirnya, TUHAN sangat murka terhadap mereka sehingga tiada lagi jalan keluar untuk melepaskan diri umat-Nya daripada hukuman-Nya.

17 Oleh itu TUHAN mendatangkan raja Babilonia untuk menyerang mereka. Raja Babilonia membunuh kaum belia Yehuda, bahkan orang yang berada di dalam Rumah TUHAN. Raja itu tidak mengasihani sesiapa pun, muda atau tua, lelaki atau perempuan, orang sakit ataupun orang sihat. Allah menyerahkan mereka semua kepada raja Babilonia.

18 Perkakas-perkakas Rumah TUHAN dan barang-barang berharga yang ada di situ, harta benda raja dan para pegawainya, dirampas oleh raja Babilonia, lalu dibawa ke Babel.

19 Raja itu merobohkan tembok kota Yerusalem dan membakar kota itu, termasuk Rumah TUHAN dan semua istana, bersama-sama barang-barang berharga di dalam istana.