2 TUHAN memerintahkan Musa menulis nama tiap-tiap tempat mereka berkhemah.
3 Umat Israel meninggalkan Mesir pada hari kelima belas bulan pertama, sehari selepas Paska yang pertama. Di bawah perlindungan TUHAN, umat Israel dengan penuh keyakinan meninggalkan kota Rameses sambil disaksikan oleh orang Mesir,
4 yang ketika itu sedang menguburkan anak-anak lelaki sulung mereka yang dibunuh oleh TUHAN. Demikianlah TUHAN menunjukkan bahawa Dia lebih berkuasa daripada tuhan-tuhan orang Mesir.
5 Umat Israel berangkat dari Rameses lalu berkhemah di Sukot.
6 Mereka berangkat lagi lalu berkhemah di Etam, di pinggir kawasan gurun.
7 Dari sana, mereka kembali ke Pi-Hahirot, di sebelah timur Baal-Zefon, lalu berkhemah dekat Migdol.
8 Dari Pi-Hahirot mereka menyeberangi Laut Gelagah lalu masuk ke kawasan gurun Etam. Selepas tiga hari perjalanan, mereka berkhemah di Mara.