15 Selepas sepuluh hari, mereka kelihatan lebih sihat dan kuat daripada semua pemuda yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja.
16 Sejak hari itu pengawas itu membenarkan mereka terus makan sayur-sayuran, dan tidak makan makanan atau minum wain yang ditetapkan oleh raja.
17 Allah memberi empat orang pemuda itu pengetahuan dan kepakaran dalam kesusasteraan dan falsafah. Tambahan pula, Dia memberi Daniel kebolehan untuk mentafsirkan penglihatan dan mimpi.
18 Pada akhir tiga tahun masa latihan yang ditentukan oleh raja itu, Aspenas menghadapkan semua pemuda itu kepada Raja Nebukadnezar.
19 Raja menemuramah mereka dan mendapati Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya melebihi pemuda-pemuda lain dalam segala bidang. Oleh itu mereka dilantik untuk berkhidmat di istana raja.
20 Setiap kali raja mengemukakan persoalan yang memerlukan penerangan dan pertimbangan, raja mendapati jawapan dan tanggapan keempat-empat orang pemuda itu sepuluh kali lebih baik daripada jawapan dan tanggapan semua penilik dan ahli sihir di seluruh kerajaan baginda.
21 Daniel terus berkhidmat di istana itu sehingga Raja Kores dari Persia, mula memerintah.