15 Ketika dia mengatakan hal itu, aku menundukkan muka. Aku terpegun.
16 Kemudian malaikat yang rupanya seperti manusia itu, menghulurkan tangannya dan menyentuh bibirku. Aku berkata kepadanya, “Tuan, penglihatan ini membuat saya sangat lemah, sehingga saya tidak berhenti-henti gementar.
17 Saya seperti seorang hamba yang menghadap tuannya. Bagaimanakah saya dapat bercakap kepada tuan? Saya tidak berdaya lagi dan nafas saya sesak.”
18 Sekali lagi dia menyentuh aku dan aku merasa lebih kuat.
19 Katanya, “Allah mengasihi engkau. Oleh itu jangan takut dan jangan cemas tentang apa-apa.”Setelah dia berkata demikian, aku bertambah kuat. Lalu aku berkata, “Tuan, sila bercakap. Tuan telah menguatkan saya.”
20-21 Katanya lagi, “Tahukah engkau mengapa aku datang kepadamu? Aku datang untuk menyatakan kandungan Kitab Kebenaran kepada engkau. Sekarang aku mesti pulang dan melawan malaikat pelindung Persia. Selepas itu malaikat pelindung kerajaan Yunani pula akan muncul, dan tiada sesiapa akan menolong aku kecuali Mikhael, malaikat pelindung Israel.