12 Raja Mesir akan berasa bangga kerana kemenangannya, dan kerana banyak askar yang telah dibunuhnya, tetapi dia tidak akan terus menang.
13 Raja Siria akan pulang dan membentuk pasukan tentera yang lebih besar daripada yang pertama. Apabila masanya tiba, dia akan kembali dengan pasukan yang besar dan yang bersenjata lengkap.
14 Kemudian banyak orang akan memberontak terhadap raja Mesir. Bahkan beberapa orang yang ganas daripada bangsamu pun akan memberontak, hai Daniel, kerana penglihatan yang dilihat mereka, tetapi mereka akan dikalahkan.
15 Lalu raja Siria akan mengepung sebuah kota yang berkubu dan mengalahkannya. Tentera Mesir tidak dapat berperang lagi, bahkan askarnya yang terkuat akan kehabisan tenaga.
16 Penguasa Siria akan memperlakukan mereka dengan sesuka hati tanpa tentangan. Dia akan menduduki tanah yang permai dan menguasai seluruhnya.
17 Raja Siria akan menggerakkan kesemua pasukan tenteranya untuk menyerang musuh. Untuk menguasai kerajaan musuhnya, raja itu akan membuat persetujuan dengan musuhnya itu dan mengahwinkan puterinya dengan musuh, tetapi rancangan itu tidak akan berjaya.
18 Selepas itu raja Siria akan menyerang bangsa-bangsa yang tinggal di tepi laut, dan menakluki banyak bangsa. Tetapi seorang pemimpin bangsa asing akan mengalahkan raja Siria dan akan menghentikan hinaan yang dilakukannya, lalu membalas hinaan itu kepadanya.